Thursday, December 24, 2015

Video Pembelajaran Koperatif


Pembelajaran Koperatif


Semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, pelajar-pelajar mempunyai kaedah pembelajaran yang berbeza. Justeru, guru perlu membantu pelajar untuk memilih kaedah pembelajaran yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam pembelajaran mereka. Kelemahan dari segi pengajaran masih menjadi isu utama yang berkaitan dengan pencapaian pelajar dalam peperiksaan dimana pengajaran di sekolah masih bersifat konvensional dan membosankan pelajar. Justeru, guru hendaklah berfikiran kreatif dan inovatif supaya dapat melaksanakan proses pengajaran dengan berkesan berserta dapat memberi peluang kepada pelajar untuk lebih berinteraksi sesama pelajar dan menimbulkan keseronokan di dalam kelas.

Slavin (1995) menyatakan pembelajaran koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama. Sasaran adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakan yang lain. Pembelajaran koperatif adalah berdasarkan konsep kerjasama erat antara ahli dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada 4-5 orang yang menekankan kumpulan heterogenus iaitu pelajar daripada pelbagai taraf pencapaian dan pentingnya kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi sosial antara ahli.

Lima unsur asas dalam pembelajaran koperatif adalah:
1.saling bergantung antara satu sama lain secara positif,
2.saling berinteraksi secara bersemuka,
3.akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri,
4.kemahiran koperatif, dan
5.pemprosesan kumpulan

Ganjaran diberi kepada individu dan kumpulan dalam pelaksanaan kaedah ini. Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman masing-masing dan memainkan peranan berbeza bergilir-gilir. Kemahiran sosial dan pemprosesan kumpulan digalakkan.


Antara contoh aktiviti pembelajaran koperatif yang boleh dijalankan di bilik darjah ialah:

STRUCTURAL APPROACH
Round-table, Round-robin, Pair-Check, Think-Pair-Share, Numbered-Heads-Together,Trade-a-problem, Team-Pair-Solo,Show Down dan Three-Step-Interview.

COMPLEX APPROACH
STAD (Students Teams-Achievement Division), JIGSAW, TGT (teams-games-tournaments), TAI (Team Games Tournament), Group Investigation dan Learning Together.


Sumber rujukan:
Noor Shah Saad & Sazelli Abdul Ghani (2007). Teaching mathematics in secondary schools-theories and practices. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris

SALAM MAULIDUR RASUL 1437H


Daripada Umar bin al-Khattab kwj, sesungguhnya beliau berkata kepada Nabi SAW: "Sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada segala-galanya selain jiwaku yang ada di dalam jasadku (diriku sendiri). Lalu Nabi SAW berkata kepadanya: “Tidaklah sempurna iman salah seorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintai olehnya lebih daripada dirinya sendiri.” Umar berkata: “Demi (Allah) yang telah menurunkan kitab al-Quran ke atasmu, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diriku yang berada di dalam jasadku.” Maka Nabi SAW berkata kepadanya: “Barulah sekarang (imanmu) wahai Umar”.

(Riwayat Bukhari)

#Rasulullahdihati

Wednesday, December 23, 2015

Teaching Approaches


Laporan Jemaah Nazir, (1988) dinyatakan kefahaman pelajar terhadap konsep matematik banyak dipengaruhi oleh cara penyampaian dan pengkaedahan pengajaran. Penyampaian isi kandungan mata pelajaran dengan pendekatan yang berkesan dikaitkan dengan pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK). PPIK ialah satu jenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru dan ia berdasarkan kepada cara guru mengaitkan pengetahuan pedagogi (pengetahuan tentang cara mengajar) yang dimiliki kepada pengetahuan isi kandungan (apa yang perlu diajar). Integrasi kedua-dua jenis pengetahuan tersebut menghasilkan pengetahuan pedagogi isi kandungan.Menurut Shulman (1987) lagi, PPIK adalah salah satu daripada tujuh asas pengetahuan yang perlu dimiliki oleh seseorang pendidik. Tujuh asas pengetahuan tersebut ialah (a) pengetahuan isi kandungan, (b) pengetahuan pedagogi am, (c) pengetahuan kurikulum (d) pengetahuan pedagogi isi kandungan, (e) pengetahuan tentang pelajar dan ciri-ciri pelajar, (f) pengetahuan tentang konteks pendidikan dan (g) pengetahuan tentang matlamat-matlamat pendidikan.


Perubahan-perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan pada masakini terutamanya bidang disiplin pengajaran dan pembelajaran amat menakjubkan sekali hasil daripada penyelidikan dan kemajuan dalam teknologi pendidikan. Pendekatan pengajaran sepatutnya lebih bersifat “student-centered” melalui psikologi pembelajaran. Ianya merangkumi penjelasan akan prinsip-prinsip asas latihan, prinsip-prinsip pembelajaran dan implikasinya kepada pengajaran, teori-teori penting dalam pendidikan seperti Teori Pembelajaran Tingkahlaku, Teori Pembelajaran Kognitif dan Teori Pembelajaran Sosial yang menjadi asas pendekatan penagajaran tersebut. Strategi pengajaran secara tradisional iaitu berpusatkan guru (teacher-centered) tidak lagi relevan pada masa kini.



Pendekatan pengajaran masa kini seharusnya berpusatkan pelajar (student-centered) selaras dengan matlamat pendidikan abad ke 21. Pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar ini telah banyak digunakan oleh para guru semasa meyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran bahkan telah menjadi trend utama dalam inovasi kurikulum seluruh dunia. Kaedah pengajaran berpusatkan murid mempunyai ciri-ciri yang tertentu, antaranya adalah seperti yang dinyatakan oleh Noriati et.al (2009) iaitu murid lebih minat dalam pelajaran, melibatkan komunikasi dua hala, membina kreativiti murid, kepimpinan bercorak demokratik dan pembelajaran bercorak pengarahan kendiri. Pendekatan ini melibatkan murid secara aktif dalam sesuatu aktiviti pembelajaran.


Keratan Akhbar Isu-isu Semasa KPM

Kementerian Pendidikan kaji langkah kurang beban tugas guru - Utusan Malaysia, 22 Disember 2015


Kementerian proaktif guru bersemangat - Utusan Malaysia, 22 Disember 2015


1,848 ikut pasangan - Harian Metro, 22 Disember 2015


Pintu terbuka pesara guru BI kembali mengajar - Sinar Harian, 11 Disember 2015


Komitmen guru, ibu bapa dan murid asas kejayaan - Utusan Malaysia, 11 Disember 2015


Video 'Kenali Dunia' by KPM


Kalkulator Grafik


Keupayaan kalkulator grafik yang dapat menyediakan persekitaran eksploratori untuk dieksploitasi boleh mempertingkat kefahaman pembelajaran matematik dengan menyediakan peluang kepada murid mencuba dan meneroka tanpa batasan. Menurut Shilgalis (1997) dalam kajian Haspiah (2006), menjelaskan beberapa kebolehupayaan kalkulator grafik dalam penggunaan aktiviti penilaian yang dijalankan dapat memberi peluang kepada murid ke arah penemuan untuk membina kefahaman secara sendiri. Penggunaan teknologi ini jika mengikut kesesuaian, merupakan suatu promosi terhadap keberkesanan proses penilaian pengajaran dan pembelajaran dalam matematik supaya menjadi lebih baik. Konsep dan idea yang bersifat abstrak dengan bantuan alatan teknologi berupaya diterjemah dalam bentuk imej atau graf menjadikannya visual yang akhirnya boleh diinterpretasi sifatnya.

Terdapat beberapa tajuk dalam pembelajaran matematik yang lebih mudah sekiranya dijelaskan dengan adanya perwakilan berbentuk graf, carta atau melukis rajah. Proses penilaian secara konvensional mengambil masa apabila keperluan melukis graf atau perkara yang hampir serupa diperlukan dalam penilaian. Contohnya untuk menunjukkan kaitan sesuatu konsep berkaitan fungsi dengan graf, rajah atau carta bagi suatu maklumat yang mewakili konsep berkaitan pembelajaran. Kadangkala terdapat murid yang kurang mahir melukis hal berkaitan kerana kurang berkemampuan untuk melakar graf, melukis rajah atau carta.


Namun, sehingga ke hari ini, penggunaan kalkulator grafik masih belum diperluaskan dikebanyakan sekolah. Ini disebabkan oleh beberapa faktor kekangan iaitu kos yang mahal berbanding kalkulator biasa, murid tidak didedahkan atau diajar cara penggunaan kalkulator grafik, kurangnya promosi guru terhadap penggunaan kalkulator grafik kepada murid dan tanggapan negatif murid dan juga guru bahawa penggunaan kalkultor grafik lebih rumit berbanding kalkulator biasa. Justeru, dicadangkan pihak kementerian dan sekolah dengan kerjasama guru hendaklah mengambil tindakan dengan memberikan sokongan dalam bentuk peruntukan untuk menyediakan kalkulator grafik kepada panitia Matematik di sekolah. Dengan adanya sampel, guru boleh mempromosikan dan mendedahkan penggunaan kalkulator grafik ini kepada pelajar dan seterusnya menarik minat murid untuk memilikinya.

Kesimpulannya, penggunaan kalkulator grafik dalam penilaian sangat membantu guru dan murid. Berbanding secara konvensional, iaitu menggunakan pen/pensel dan kalkulator biasa, penggunaan kalkulator grafik mampu meningkatkan kefahaman terhadap konsep dan secara tidak langsung meningkatkan pencapaian murid. Kalkulator grafik boleh menentusahkan serta menyokong penyelesaian semasa mencari nilai secara bertulis menggunakan pen/pensel dalam pengiraan secara manual dalam penilaian.