Wednesday, December 23, 2015

Penggunaan Visualisasi Dalam Matematik

Matematik adalah mata pelajaran yang bersifat abstrak. Pemahaman konsep matematik dengan baik sangat penting untuk memahami konsep-konsep baru yang berkait. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran Matematik, kebanyakan pelajar sukar memahami masalah matematik terutamanya yang melibatkan masalah berayat walaupun mereka mahir dalam pengiraan operasi asas matematik dan kemahiran lain. Oleh itu, strategi atau kaedah yang sesuai dan berbeza perlu dikenalpasti sebagai alternative untuk membantu murid menangani kesukaran dalam pembelajaran matematik yang kompleks. Kefahaman yang jelas terhadap definisi visualisasi ini amat penting sebelum memahami konsep dan peranannya dalam dunia pendidikan Matematik. Secara umumnya, berdasarkan artikel jurnal, terdapat persamaan dari segi definisi visualisasi iaitu bermaksud membayangkan atau menggambarkan. Visualisasi adalah usaha untuk memerihalkan maklumat atau konsep yang diperoleh dalam bentuk objek, imej, jadual, rajah atau graf secara terperinci, bersistematik dan berfokus.

Menurut Leavitt (2012), rajah, graf, carta, peta, gambar foto, peta konsep, animasi dan video merupakan contoh visualisasi yang boleh digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Manakala Cheong (2002); Ho & Lowrie (2014) pula mengatakan bahawa contoh visualisasi yang boleh digunakan adalah gambar rajah pita dan gambar ringkas. Dalam kajian Scheiter, Gerjets & Catrambone (2007), kaedah visualisasi boleh disampaikan sama ada melalui gambar statik, animasi atau imaginasi.

Visualisasi boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu visualisasi luaran dan dalaman. Visualisasi luaran merupakan idea tentang konsep matematik yang dapat membantu pelajar dalam memahami konsep termasuk sistem simbol dalam matematik. Menurut kajian Ho & Lowrie (2014); Pape & Tchoshano (2001), visualisasi luaran pula terbahagi kepada tiga jenis iaitu bukan gambar rajah, gambar rajah skema dan ikonik. Gambar rajah bertujuan untuk membanding maklumat dalam bentuk jadual. Gambar rajah skema digunakan untuk mendapatkan gambaran yang besar terhadap soalan sebelum membuat pengiraan manakala ikonik pula membantu meningkatkan pemahaman pelajar sebelum pelajar dapat menganalisis atau meramalkan suatu penyelesaian. Visualisasi dalaman pula merupakan skema kognitif atau idea gambar matematik yang dibangunkan oleh pelajar melalui pengalamannya.

Pembelajaran menggunakan visualisasi dilihat lebih baik daripada pembelajaran secara konvensional. Hakikatnya kini, pelajar-pelajar kita lebih suka menghafal langkah-langkah pengiraan seperti yang diajar oleh guru mereka sahaja. Keupayaan menghafal dalam minda mempunyai pengaruh yang besar dalam proses pengajaran dan pembelajaran masa kini. Disiplin matematik seperri tajuk geometri sebenarnya banyak melibatkan kemahiran visual-spatial, iaitu secara tidak langsung berkait dengan kemampuan visualisasi.
Kesimpulannya, kaedah visualisasi merupakan satu anjakan dalam teknik penyelesaian masalah terutamanya dalam matematik. Kajian-kajian yang dijalankan berdasarkan artikel jurnal yang diperolehi, menunjukkan visualisasi amat penting dalam membantu pelajar menguasai konsep serta meningkatkan kefahaman mereka. Justeru, kajian dan penyelidikan mengenai kaedah meningkatkan penggunaan visualisasi dalam penyelesaian masalah matematik perlu dipergiatkan dan didalami untuk kepentingan masa akan datang.

Antara contoh penggunaan visualisasi dalam matematik:


No comments:

Post a Comment