بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ... السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ..
Ulasan Buku
Buku Budaya dan Pembelajaran ini membicarakan khusus mengenai perbezaan budaya antara satu masyarakat dengan masyarakat dengan masyarakat lain. Seperti yang terkandung dalam bab satu, perbezaan budaya dan kepelbagaian kelompok yang wujud ini akan mempengaruhi pembelajaran di bilik darjah. Oleh itu, amat penting untuk murid diberikan kesedaran terhadap perbezaan etnik melalui pelbagai pendekatan sama ada dari perspektif makro mahupun mikro yang dijelaskan pengarang dalam bab dua iaitu kesedaran kepelbagaian sosio budaya.
Sesetengah murid lebih suka bergaul dalam kelompok yang mereka kenali sahaja. Ini akan mewujudkan sikap mementingkan diri sendiri di kalangan murid. Justeru, guru perlu memahami serta mengenali kepelbagaian sosio budaya antara kaum yang ada di kalangan murid. Serentak dengan itu perpaduan dapat diwujudkan serta dapat merapatkan jurang antara murid yang mempunyai taraf sosio ekonomi yang berbeza. Bab tiga menghuraikan tentang implikasi kepelbagaian sosio budaya. Pencapaian murid dapat dibezakan melalui perbezaan kaum, jantina, taraf hidup dan latar belakang keluarga. Guru disarankan mempelajari kepelbagaian budaya dalam masyarakat di negara kita. Guru juga harus memperkembangkan bakat murid tanpa bersikap prejudis terhadap mana-mana kaum. Dengan itu, murid yang dibentuk akan mencintai ilmu melalui budaya belajar ke arah pencapaian prestasi budaya cemerlang.
Disebabkan kepelbagaian kelompok dan sosiobudaya yang ada, maka timbulnya isu jurang pendidikan seperti yang dihuraikan oleh pengarang dalam bab empat, iaitu ketaksamaan peluang pendidikan. Antara contoh jurang yang paling ketara bagi murid pedalaman ialah jurang digital, iaitu perbezaan dari segi akses kepada kemudahan ICT, jurang tahap pencapaian murid, jurang pelajar normal dan berkeperluan khas dan jurang sosio ekonomi. Oleh itu, KPM telah mengenalpasti jurang pendidikan yang perlu dirapatkan supaya akses, ekuiti dan kualiti dapat dipertingkatkan. Usaha merapatkan jurang pendidikan telah berkembang pesat dan mencapai banyak kemajuan sejak dari dahulu lagi dan masih belum selesai sehingga ke hari ini. Jurang antara bandar dan luar bandar yang merujuk kepada ketidaksamarataan dari segi penyediaan infrastruktur dan penempatan guru terutama di Sekolah Kurang Murid, sekolah orang Asli dan sekolah di pedalaman.
Dalam bab lima pula, kepelbagaian murid daripada pelbagai latar bangsa dan budaya mempengaruhi persekitaran bilik darjah. Pembinaan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya akan menjadikan suasana pembelajaran menjadi kondusif, iaitu berlakunya interaksi dan integrasi dalam kalangan murid sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Peningkatan profesionalisme guru dalam bilik darjah dilihat dalam aspek kebolehan mencorak kualiti pengajaran, menyusun organisasi pembelajaran, mencorak iklim dalam bilik darjah, mencorak perkembangan murid termasuk perkembangan akademik, perlakuan, sosial, rohani, emosi, jasmani dan intelek. Oleh itu, guru berperanan sebagai pendidik, pemudahcara, pemimpin, pembimbing, penilai, perunding, perancang serta pendorong ke arah kecemerlangan murid.
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan akan menjayakan proses penyampaian ilmu pengetahuan, nilai, kemahiran dan sikap yang akhirnya membawa kepada perubahan tingkah laku seseorang murid. Walaupun terdiri daripada pelbagai budaya, guru harus menjadi penggerak kepada pembelajaran yang berpusatkan murid supaya pembelajaran menjadi aktif, interaktif dan konstruktif. Kaedah pedagogi yang sesuai untuk diaplikasikan dalam pelbagai budaya murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan pedagogi yang digunakan guru sangat penting supaya guru mudah memahami budaya dan bangsa yang terdapat di sekolah serta dapat menyampaikan pengajaran dan pembelajaran berkaitan budaya dengan lebih bermakna.
Aspek kemahiran komunikasi guru yang terkandung dalam bab enam buku ini merupakan satu aspek yang memainkan peranan penting ke arah pembentukan budaya penyayang. Komunikasi yang berkesan akan menghasilkan motivasi yang berkesan. Guru perlu menggunakan kecekapan kemahiran komunikasi untuk mempengaruhi muridnya agar mengekalkan tahap motivasi mereka dalam pembelajaran. Interaksi yang berjaya di dalam bilik darjah adalah bergantung kepada keberkesanan kemahiran komunikasi guru tersebut. Komunikasi secara lisan atau bukan lisan merupakan kunci kejayaan dalam pengurusan proses pengajaran dan pembelajaran. Komunikasi yang berkesan berupaya mempengaruhi minat murid untuk belajar serta mewujudkan hubungan yang baik dalam komuniti pembelajaran.
Akhir sekali dalam bab 7, pengarang mengemukakan beberapa pelan tindakan melibatkan kelompok orang Asli, indigeneous dan pedalaman dalam usaha untuk merapatkan jurang pendidikan. Kejayaan sistem pendidikan sebagai perkhidmatan kepada masyarakat dinilai berdasarkan keupayaannya untuk dinikmati oleh kumpulan sasaran dan seterusnya untuk meningkatkan taraf hidup. Pembangunan pendidikan di Malaysia pada awalnya hanya tertumpu kepada pembinaan sekolah di bandar dan kawasan pertumbuhan ekonomi utama negara. Sekolah-sekolah di bandar dibekalkan dengan kemudahan yang lengkap dari segi bangunan, peralatan, guru terlatih dan sumber mencukupi. Manakala, sebaliknya berlaku bagi penduduk luar bandar dan pedalaman yang agak ketinggalan dari semua aspek dan seterusnya mewujudkan ketidaksamarataan dan jurang pendidikan.
Kesimpulannya, berdasarkan pembacaan kesemua bab dalam buku ini, isi kandungan menyentuh mengenai keperluan isu yang merangkumi aspek sosio budaya pelbagai kelompok di Malaysia, gaya pembelajaran berdasarkan aspek kepelbagaian budaya, kemahiran hubungan kelompok dan isu-isu kepelbagaian budaya yang wujud khususnya dalam bidang pendidikan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
No comments:
Post a Comment