Isu 4 - Bahasa Pengantar

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, bahasa pengantar merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat perhubungan atau komunikasi dalam pengajaran di sekolah. Bahasa pengantar memainkan peranan yang amat penting bagi menyampaikan isi pelajaran serta mencapai objektif pelajaran. Penggunaan bahasa yang difahami dan berkesan akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) mencapai matlamatnya.

-Bahasa Ibunda-
Di Malaysia terdapat tiga kaum yang majoriti iaitu Melayu, Cina dan India. Dengan itu, wujudnya tiga jenis aliran sekolah iaitu sekolah kebangsaan (SK) , sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT). Sebelum dan setelah dasar PPSMI, mata pelajaran Sains dan Matematik menggunakan bahasa ibunda mengikut aliran sekolah masing-masing. Jika diperhatikan, kejayaan kebanyakan negara-negara maju seperti Jepun, China, Korea Selatan, Perancis, Jerman dan Finland yang mana menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, telah membuktikan keberkesanan pendidikan bahasa ibunda.

-PPSMI-
PPSMI ialah akronim kepada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Ini bermaksud bahasa pengantar bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah bahasa Inggeris di semua peringkat pendidikan. Dasar ini telah dilaksanakan secara berperingkat bermula pada awal tahun 2003 yang melibatkan pelajar Tahun 1 (sekolah rendah), Tingkatan 1 dan Tingkatan Enam bawah (sekolah menengah). Proses perubahan dasar ini berterusan sehingga melibatkan semua peringkat pendidikan rendah dan menengah pada tahun 2008

-MBMMBI-
Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Tujuan utama memperkukuh bahasa Inggeris adalah untuk membolehkan penerokaan pelbagai ilmu dan meningkatkan persaingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, bahasa Inggeris juga merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan. Konsep dan dasar MBMMBI adalah dasar baharu yang memberi penekanan dalam aspek PdP dalam bahasa Melayu dan pada masa yang sama, bahasa Inggeris diperkukuh menerusi pendekatan yang lebih berkesan.

Perubahan bahasa pengantar di sekolah bagi mata pelajaran Sains dan Matematik menimbulkan isu tertentu bagi setiap dasar yang diperkenalkan. Dasar menggunakan bahasa ibunda diperkatakan mewujudkan jurang perpaduan manakala dasar PPSMI dikatakan melebarkan jurang pencapaian.

No comments:

Post a Comment