Wednesday, December 23, 2015

Kalkulator Grafik


Keupayaan kalkulator grafik yang dapat menyediakan persekitaran eksploratori untuk dieksploitasi boleh mempertingkat kefahaman pembelajaran matematik dengan menyediakan peluang kepada murid mencuba dan meneroka tanpa batasan. Menurut Shilgalis (1997) dalam kajian Haspiah (2006), menjelaskan beberapa kebolehupayaan kalkulator grafik dalam penggunaan aktiviti penilaian yang dijalankan dapat memberi peluang kepada murid ke arah penemuan untuk membina kefahaman secara sendiri. Penggunaan teknologi ini jika mengikut kesesuaian, merupakan suatu promosi terhadap keberkesanan proses penilaian pengajaran dan pembelajaran dalam matematik supaya menjadi lebih baik. Konsep dan idea yang bersifat abstrak dengan bantuan alatan teknologi berupaya diterjemah dalam bentuk imej atau graf menjadikannya visual yang akhirnya boleh diinterpretasi sifatnya.

Terdapat beberapa tajuk dalam pembelajaran matematik yang lebih mudah sekiranya dijelaskan dengan adanya perwakilan berbentuk graf, carta atau melukis rajah. Proses penilaian secara konvensional mengambil masa apabila keperluan melukis graf atau perkara yang hampir serupa diperlukan dalam penilaian. Contohnya untuk menunjukkan kaitan sesuatu konsep berkaitan fungsi dengan graf, rajah atau carta bagi suatu maklumat yang mewakili konsep berkaitan pembelajaran. Kadangkala terdapat murid yang kurang mahir melukis hal berkaitan kerana kurang berkemampuan untuk melakar graf, melukis rajah atau carta.


Namun, sehingga ke hari ini, penggunaan kalkulator grafik masih belum diperluaskan dikebanyakan sekolah. Ini disebabkan oleh beberapa faktor kekangan iaitu kos yang mahal berbanding kalkulator biasa, murid tidak didedahkan atau diajar cara penggunaan kalkulator grafik, kurangnya promosi guru terhadap penggunaan kalkulator grafik kepada murid dan tanggapan negatif murid dan juga guru bahawa penggunaan kalkultor grafik lebih rumit berbanding kalkulator biasa. Justeru, dicadangkan pihak kementerian dan sekolah dengan kerjasama guru hendaklah mengambil tindakan dengan memberikan sokongan dalam bentuk peruntukan untuk menyediakan kalkulator grafik kepada panitia Matematik di sekolah. Dengan adanya sampel, guru boleh mempromosikan dan mendedahkan penggunaan kalkulator grafik ini kepada pelajar dan seterusnya menarik minat murid untuk memilikinya.

Kesimpulannya, penggunaan kalkulator grafik dalam penilaian sangat membantu guru dan murid. Berbanding secara konvensional, iaitu menggunakan pen/pensel dan kalkulator biasa, penggunaan kalkulator grafik mampu meningkatkan kefahaman terhadap konsep dan secara tidak langsung meningkatkan pencapaian murid. Kalkulator grafik boleh menentusahkan serta menyokong penyelesaian semasa mencari nilai secara bertulis menggunakan pen/pensel dalam pengiraan secara manual dalam penilaian.

No comments:

Post a Comment