Isu 7 - Penilaian

Pentaksiran adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, membuat skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu. Dari aspek pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah pula, pentaksiran boleh didefinisikan sebagai satu proses yang sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah itu dapat dicapai. Sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan mencadangkan supaya penggunaan teknologi diperluaskan dalam sistem pentaksiran berasaskan sekolah.

PENILAIAN DALAM KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT)


Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan keupayaan untuk mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.Dalam pentaksiran pusat, soalan berbentuk aras tinggi dikemukakan. Strategi pengajaran dan pembelajaran KBAT berbentuk inkuiri, penyelesaian masalah, penyelidikan dan berasaskan projek. Pelbagai pendekatan dan aktiviti dalam bilik darjah yang boleh dilaksanakan. Guru dan murid boleh menggunakan alat berfikir seperti peta pemikiran dan penyoalan aras tinggi semasa PdP. Pengajaran dan pembelajaran akan berubah menjadi pembelajaran dan pemudahcaraan apabila guru berperanan mengajar dan murid belajar semasa melaksanakan aktiviti aras pemikiran rendah dan apabila aras pemikiran meningkat ke aras yang lebih tinggi, guru berperanan sebagai pemudah cara semasa murid belajar.


PENILAIAN MENGGUNAKAN TEKNOLOGI

KALKULATOR GRAFIK

Kalkulator grafik merupakan salah satu bahan yang boleh diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran seperti yang hangat diperbincangkan pada masa kini. Perkembangan teknologi adalah berterusan sehingga pada tahun 1986, Casio memperkenalkan kalkulator grafik yang berupaya menayangkan fungsi dalam perwakilan graf seperti perisian komputer, bahkan mempunyai kelebihan ‘handy’ serta ‘portable’. Inovasi ini menjadikan kalkulator grafik menjadi pilihan bahan sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan digunakan dalam proses penilaian oleh pengamal pendidikan matematik. Mengambil contoh bagi tajuk Persamaan Kuadratik, murid dikehendaki melakar atau melukis graf kuadratik. Berbanding secara konvensional, ia didapati lebih mudah dengan menggunakan proses penggrafan melalui pendekatan fungsi, iaitu penggrafan itu dapat ditunjukkan dengan pantas menggunakan bahan sokongan alatan teknologi (Laughbaum, 1999). Oleh itu, penggunaan kalkulator grafik yang mudah digunakan di bilik darjah, boleh digunakan untuk memperkenalkan bentuk am persamaan kuadratik serta subtopik yang berkaitan dan seterusnya diaplikasikan semasa proses penilaian. Melalui kalkulator grafik, murid akan dapat menjimatkan masa mereka, selain dapat jawapan yang tepat, kemas dan cantik.


PERISIAN GEOGEBRA

Menurut Ayu dan Effandi (2014), perisian Geogebra merupakan perisian matematik dinamik yang berkembang pesat di seluruh dunia terutama di Eropah dan Amerika Utara. Perisian ini dibangun oleh Markus Hohenwarter daripada projek tesis semasa menempuh pengajian sarjana dalam tahun 2001 di Universiti Salzburg, Austria. Idea asas pembangunan perisian ini menggabungkan konsep geometri, algebra, dan kalkulus dengan pakej tambahan spreadsheet dan algebra komputer. Nama Geogebra sendiri diberikan sebagai singkatan daripada Geometri dan Algebra. Perisian Geogebra yang merupakan lanjutan konsep geometri dinamik untuk bidang aljebra dan analisis matematik, telah diterbitkan di laman web dalam tahun 2002 sebagai perisian yang dapat dimuat turun secara percuma. Perisian geogebra merupakan gabungan daripada ‘Dynamic Geometry Software’ (DGS) dan juga ‘Computer Aljebra System’ (CAS) dibawah pengawasan ‘General Public License’ (GPL) dan dapat diakses secara percuma melalui internet pada laman www.geogebra.org. Bagi memudahkan para pengguna dari pelbagai negara, Perisian Geogebra telah dialih kedalam pelbagai bahasa.

GEOMETER SKETCHPAAD (GSP)

Geometer’s Sketchpad atau GSP merupakan satu perisian komputer berasaskan algebra dan geometri yang perlu dimuat turun pada sesebuah komputer untuk dioperasikan. GSP mempunyai ilustrasi dan kemudahan fungsi untuk melukis gambar rajah dan graf dalam penyelesaian masalah. Kebanyakan perisian, modul dan bahan yang dibina adalah untuk mengatasi tiga masalah utama iaitu tempoh pengekalan dalam ingatan murid, ketidakmampuan murid untuk memindahkan dan mengaitkan ilmu daripada satu disiplin kepada orang lain dan kurang motivasi dalam kalangan murid (Zulaikha & Norita, 1996). Justeru, perisian GSP mampu mengatasi ketiga-tiga masalah yang sering berlaku dalam satu PdP matematik.

No comments:

Post a Comment