Isu 3 - Akses dan Ekuiti

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan berhasrat untuk mencapai lima bidang keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Bidang keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang turut disuarakan serta setanding dengan keberhasilan yang ditetapkan oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi yang lain. Bagi merealisasikan lima aspirasi berkenaan, setiap tindakan yang diambil adalah penting dan tidak ada inisiatif dalam mana-mana aspek berkenaan yang boleh menjejaskan atau menghalang kemajuan yang lainnya. Objektif PPPM 2013-2025 salah satunya ialah untuk memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid serta mengoptimumkan kecekapan sistem.


Akses dan ekuiti berkait rapat antara satu sama lain dan amat penting dalam meningkatkan tahap pendidikan yang berkualiti di Malaysia. Buktinya dengan pelaksanaan PPPM 2013-2025 yang mempunyai matlamat atau objektif untuk meluaskan akses dan meningkat ekuiti agar semua warganegara memperoleh peluang pendidikan berkualiti secara keseluruhannya. Input pendidikan diagih secara adil kepada semua institusi pendidikan bagi membolehkan semua pelajar menikmati pembelajaran sebenar pada tahap optimum. Pembangunan sistem pendidikan yang berkualiti dan berkesan dapat menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

Secara umum, akses dan ekuiti dalam pendidikan bermaksud menghapuskan jurang dan membuka peluang kepada rakyat yang berbeza dari segi keperluan dan kebolehan bagi mendapatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman melalui pendidikan secara sama rata. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, akses bermaksud proses atau cara untuk mencapai atau memperoleh sesuatu data dan maklumat capaian. Salah satu bidang keberhasilan utama dalam PPPM ialah akses dimana setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian Pendidikan juga berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas iaitu Tingkatan 5 menjelang 2020.

Manakala bagi ekuiti pula, definisi mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pemilikan sama rata dalam sesebuah organisasi. Definisi lain bagi ekuiti ialah saksama dan adil. Merujuk kepada lima bidang keberhasilan PPPM 2013-2025, ekuiti iaitu sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, gender, latar belakang sosioekonomi, bangsa, etnik, budaya dan amalan atau cara hidup. Kementerian Pendidikan berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50% menjelang 2020.

No comments:

Post a Comment