Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mendefinisikan pendekatan sebagai cara atau langkah-langkah bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas. Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran. Dalam pengertian yang lebih luas pendekatan juga diertikan sebagai "to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu.
Selain itu, pendekatan merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran itu diajarkan untuk mencapai objektifnya. Setiap pendekatan hendaklah mencerminkan satu pandangan atau pendapat tentang hakikat satu matlamat pelajaran. Ini bertujuan untuk memudahkan murid menerima dan memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Dengan adanya pendekatan, guru dapat membuat tanggapan asas yang akan dijadikan prinsip. Kita mempelajari sesuatu situasi itu secara keseluruhan dan kemudian memperinci elemen-elemen situasi satu pandangan atau sebagai teori pembelajaran, maka kita boleh menjadikannya sebagai satu pendekatan dalam sesuatu pengajaran. Ini membawa maksud sesuatu pengajaran itu harus dimulakan dengan mengamati keseluruhannya terlebih dahulu dan kemudian dikaji bahagian-bahagiannya.
Dalam sesuatu mata pelajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan hendaklah berjaya menarik minat pelajar dan mencabar kebolehan mereka. Kritera ini amat penting untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih bersifat inovatif dan kreatif dalam usaha untuk mengembangkan minda kritis dan kreatif pelajar. Kaedah pengajaran yang lebih bersifat ‘spoon feed’, dan induktif yang hanya mementingkan pelajar menerima apa sahaja apa yang disampaikan oleh guru kini tidak lagi sesuai. Hal ini selaras dengan pembaharuan kurikulum yang berlaku serta perubahan budaya belajar dan budaya mengajar pada era perkembangan informasi maklumat yang berlaku dalam masyarakat moden masa kini.
Oleh yang demikian, gaya pengajaran guru juga perlu berubah kepada bentuk gaya pengajaran lain yang boleh memantapkan gaya pembelajaran dan seterusnya meningkatkan pencapaian akademik terutamanya dalam Matematik. Kaedah pengajaran secara tradisional dilihat tidak membantu pelajar dalam mempraktikan gaya pembelajaran yang berkesan. Sebagai seorang guru terlatih, semestinya telah banyak mempelajari pelbagai jenis gaya pengajaran untuk guru-guru mengaplikasikan gaya pengajaran yang sesuai supaya selari dengan gaya pembelajaran pelajar.
No comments:
Post a Comment